Ahli Bait

Ahli Bait

Tuesday 17 November 2009

10 WASIAT LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAK-ANAKNYA



1. JANGAN MENYENGUTUKAN ALLAH SWT

Menyengutukan Allah SWT merupakan dosa paling besar yang tidak dapat keampunan daripada Allah SWT. Kita hendaklah meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT sahaja kerana Dialah yang Maha berkuasa ke atas segala sesuatu di dunia dan di akhirat.

2. BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA

Pengorbanan Ibu-bapa terhadap anak-anak terlalu banyak oleh itu sebagai anak, hendaklah berusaha menjadi anak yang disayangi dan sentiasa mendoakan mereka, “Wahai tuhanku, kasihanilah kedua Ibu-bapaku sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu aku kecil”.

3. SEDAR AKAN PENGAWASAN ALLAH SWT

Allah SWT nampak setiap perkara yang berlaku walau sekecil atau sehalus mana sekalipun. Ingatlah bahawa setiap perbuatan akan didedahkan di akhirat kelak. Allah SWT maha mengetahui segala-galanya kerana tidak ada amal perbuatan manusia yang terlepas dari pengawasan Allah SWT.

4. MENDIRIKAN SOLAT

Setiap mukallaf wajib mendirikan solat dengan sempurna yakni dengan khusyuk kerana ia akan dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan kemungkaran. Inilah golongan orang-orang yang beruntung dan berjaya di dunia dan di akhirat.

5. MENYERU BERBUAT BAIK

Tidak ada yang lebih mulia selain daripada mengajak manusia kepada kebaikan. Jangan bertangguh-tangguh untuk berbuat kebaikan, dengan ini sepanjang hayat kita akan terisi dengan kebaikan semata-mata.

6. MENCEGAH KEMUNGKARAN

Kita hendaklah berani mencegah kemungkaran. Orang yang tidak mencegah kemungkaran merupakan orang yang tidak mempunyai harga diri dan akan mendapat kutukan daripada Allah SWT lantaran sikap mereka itu.

7. SABAR MENGHADAPI DUGAAN UJIAN HIDUP

Kita wajib bersabar terhadap hal-hal yang menimpa kita sebagai ujian hidup. Itu adalah tanda seseorang itu mempunyai keimanan yang kuat. Kunci kemenangan terhadap segala tentangan atau rintangan adalah sabar.

8. TIDAK BERLAGAK SOMBONG

Sifat sombong hanya layak bagi Allah SWT tetapi tidak pada manusia. Oleh itu, Allah SWT amat murka pada orang yang menyombong diri, seseorang yang sombong akan hilang harga dirinya dan akan rendah martabatnya.

9. INGATLAH BAHAWA MANUSIA ITU AKAN MATI

Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuknya. Kita hendaklah sentiasa muhasabah diri dan segera bertaubat apabila melakukan dosa, kerana mati itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

10. MERENDAHKAN SUARAMU

Apabila berbicara janganlah meninggikan suara. Jangan sampai ada orang lain yang merasa terganggu dengan suara kita. Berbicaralah dengan suara yang sedap didengar dan dengan suasana yang tenang.

(Rujukan Surah Luqman, ayat 13-19)